HUTAN MELINTANG:Tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Kampung Batu 9, Teluk Bharu, di sini pada awal pagi Khamis.
Dalam kejadian sekitar 11 pagi itu, kebakaran menyebabkan 10 daripada 12 buah rumah di kampung itu musnah.
Lebih malang, semua mangsa yang telah menetap lebih daripada 30 tahun di situ, hanya mampu melihat rumah mereka dijilat api yang merebak dengan begitu pantas, tanpa mampu menyelamatkan barangan berharga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Penolong Penguasa Bomba Soh Tuan Lah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian sekitar pukul 11.29 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya kami di lokasi kira-kira jam 11.34 pagi, api marak dengan begitu kuat dan sudah membakar tujuh rumah sebelum terus merebak hingga rumah kesepuluh sebelum kami dapat mengawalnya.
"Kami kemudian segera melakukan proses pemadaman api dan berjaya menyelamatkan dua buah rumah lagi daripada terbakar.
"Buat masa ini, kami masih lagi menyiasat punca sebenar kebakaran,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.
Beliau memberitahu, lima daripada 10 buah rumah yang terbakar itu merupakan rumah kosong.
Tuan Lah berkata, kerja-kerja pemadaman kebakaran sepenuhnya mengambil masa selama empat jam dan dibantu oleh 15 anggota bomba dari BBP Teluk Intan dan Hutan Melintang.
"Operasi tamat sepenuhnya sekitar pukul 2 petang," katanya lagi.