Ipoh: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak berbohong berhubung isu pembinaan jambatan Manong yang menelan kos RM 43.5 juta.
Datuk Mohamad Kamil Shafie (BN – Manong) berkata, tender jambatan itu akan dikeluarkan pada Januari 2017 dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, isu itu bukan gimik pilihanraya tetapi telah dibawa oleh beliau di dalam Sidang Dewan terdahulu bersama-sama Maslin Sham Razman (BN – Bukit Chandan) dan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
"Cuma rakyat dikelirukan oleh Ketua Pembangkang dari Changkat Jering (Datuk Seri Nizar Jamaludin) yang bersifat provokasi tanpa fakta yang betul.
"Jangan bawa maklumat seperti mana ADUN Changkat Jering dapat di pesisiran jalan melalui orang yang tidak tentu," katanya kepada pemberita selepas membahaskan Bajet 2017 di Dewan Negeri Ipoh pada Khamis.
Kamil menjelaskan pembinaan jambatan Manong itu sudah pun dicadangkan sejak tahun 2013 lagi, semasa beliau mula memegang jawatan sebagai wakil rakyat.
"Janganlah mengadu domba yang bukan-bukan dengan mengatakan cadangan jambatan ini hanya untuk meraih undi pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar yang lalu.
"Kita pun tidak tahu apa tujuan sebenar dia (Nizar) dan kita sangat kecewa di atas kenyataan yang dikeluarkan olehnya, seolah-olah jambatan ini sekadar janji politik," kata Kamil.
Jambatan Manong yang menjadi penghubung di antara kawasan DUN Manong dan DUN Bukit Chandan, menjadi isu apabila pembangkang mendakwa kononnya kerajaan telah beberapa kali melakukan pecah tanah projek tersebut.
Kamil di dalam perbahasannya di dalam Sidang DUN bagaimanapun menafikan dakwaan itu.