top of page
muinsapidin

Bajet 2017 Realistik Dan Fokus – DPPMP

IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak (DPPMP) menyifatkan Bajet 2017 bagi negeri Perak yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir baru-baru ini sebagai realistik dan fokus.

Kenyataan itu sekaligus menafikan tuduhan pembangkang kononnya bajet itu sebagai yang paling teruk dalam sejarah negeri Perak.

Yang Dipertua DPPMP, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, bajet itu realistik kerana perbelanjaannya hampir sama dengan hasil yang dijangka, sekaligus menunjukkan kerajaan negeri.

“Saya katakan fokus kerana banyak peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk usahawan, baik usahawan kecil, sederhana dan besar atau peniaga di bandar dan luar bandar,” katanya kepada Suara Perak.

Muhiyuddin memberi contoh, usahawan besar dan pelabur bakal mendapat manfaat apabila projek sambungan paip gas asli dari Ayer Tawar ke Lembah Kinta akan dimulakan tahun hadapan dengan peruntukan RM180 juta.

“Projek ini yang telah lama kita bincangkan di peringkat Jawatankuasa Pemudah sudah tentu membantu mengurangkan kos operasi pihak industri di samping mampu menggalakkan lebih banyak pelaburan luar,” ujarnya.

Menurut beliau, peruntukan kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk meneruskan tiga program - Program Mikro Kredit, Program Mikro Kredit Belia Amanjaya dan Kiosk Amanjaya, bakal membantu lebih ramai belia dan juga usahawan di luar bandar.

“Kami sendiri banyak mendapat maklum balas mengenai program-program ini yang telah memberi manfaat kepada ramai belia berniaga dan mereka yang berniaga di kampung-kampung,” tambahnya.

Katanya, galakan terhadap sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2017 juga bakal memberi peluang kepada ramai usahawan yang berkaitan seperti makanan, penginapan, pengangkutan dan industri kraft.

Muhiyuddin turut menyambut baik langkah kerajaan negeri menggerakkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) yang menjadi penasihat di samping memastikan segala yang dirancang di dalam bajet, dapat dilaksanakan.

“Saya berharap NGO (pertubuhan bukan kerajaan) juga dapat dilibatkan di dalam majlis ini, untuk sama-sama memberi maklum balas kepada pihak kerajaan,” ujarnya.


41 views0 comments
bottom of page