top of page
muinsapidin

Pembelajaran ‘luar kotak’ dapat bantu perkembangan murid istimewa

Guru berdedikasi dengan sikap kreatif dan sentiasa berfikir di luar kotak dapat menjadi penentu kepada anjakan paradigma dalam usaha memperkasakan pendidikan murid berkeperluan khas.

Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata membimbing dan mendidik anak-anak istimewa bukan satu tanggungjawab yang mudah selain menuntut kesabaran serta ketekunan bagi mencapai matlamat pendidikan.

"Saya menyeru kepada semua pihak agar turut serta dalam keberhasilan pendidikan serta perkembangan anak-anak istimewa ini di tahap tertinggi setanding dengan pendidikan anak sempurna.

"Ibu bapa juga disarankan untuk sentiasa mengikuti perkembangan dan mendapatkan informasi terkini berkenaan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas," jelas Saripah.

Saripah berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvokesyen Program Pendidikan Khas Prasekolah Negeri Perak Tahun 2016 di kediaman rasmi Menteri Besar pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Rozi Puteh Ismail dan Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Aznan Alias.

Dalam majlis itu, seramai 101 orang murid pendidikan khas prasekolah menerima Sijil Tamat Pendidikan Khas Prasekolah di samping penyampaian Anugerah Khas Perak Excellent.

Sementara itu, menurut Aznan kurikulum pendidikan khas menjurus kepada kemahiran yang bersesuaian dengan tahap kebolehan murid.

"Setakat ini murid-murid berkeperluan khas lebih kepada kumpulan masalah pembelajaran, kita mendapati graf dari kumpulan itu meningkat.

Manakala bagi masalah pendengaran dan penglihatan menunjukkan penurunan. Oleh sebab itu kita akan pastikan murid- murid dari pelbagai kebolehan ini dapat mengikuti pembelajaran dengan modifikasi yang dilaksanakan," ujar Aznan.

Dalam majlis itu, adik Ahmad Amzar Ardhani berusia lima tahun, murid dari kategori Autisme dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Perak Excellent dengan membawa pulang piala, sijil dan wang tunai.

Bapanya, Ahmad Hafiz Ghadzali berkata perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Ahmad Amzar membolehkan dia meraih anugerah itu.

"Anak saya OKU kategori Autisme dan jika sebelum ini dia tidak berupaya untuk uruskan diri sendiri, kini dia sudah tunjukkan perkembangan sangat positif baik dari kehidupan atau pembelajaran," kata Ahmad Hafiz.

Murid-murid yang telah menamatkan sesi prasekolah pada usia enam tahun ini seterusnya akan diserap masuk ke Program Pendidikan Khas Integrasi.


19 views0 comments
bottom of page