IPOH: Pangkor Dialogue bukan sahaja dalam konteks mengadakan persidangan, mendengar ceramah semata-mata tetapi turut melibatkan usaha menarik pelabur-pelabur luar ke negeri Perak.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sepanjang diolog itu diadakan, sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani yang turut melibatkan pemain-pemain industri serta rundingan perniagaan.
“Mereka yang terlibat secara langsung dalam industri tertentu datang ke Perak untuk meninjau peluang-peluang pelaburan yang ada, umpamanya kita ada usahasama dengan beberapa `bio-medical engineering company’ dan Lincoln University,’’ katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Aminuddin Mohd Hanafiah (BN-Ulu Kinta) pada sidang Dewan Negeri Perak, pada Rabu.
Terdahulu Dr Zambry semasa menjawab soalan S. Kesavan (PKR-Hutan Melintang) menjelaskan bahawa penganjuran Pangkor Dialogue berjaya melonjakkan nama negeri Perak di persada antarabangsa.
Katanya, ini terbukti apabila Bandaraya Ipoh di pilih sebagai bandaraya perniagaan sosial yang kelima di dunia.
“Bagi membangunkan pelancongan negeri ini, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi mempromosikannya,” ujarnya.
Selain itu, ujarnya, pelabagai aktiviti sampingan disusun, termasuklah penganjuran Youth Entrepreneurship bagi golongan belia dan persidangan berkaitan dengan wakaf serta hala.
Katanya, Pangkor Dialogue telah dihadiri 2,443 perserta dari dalam dan luar negara meliputi 26 negara termasuk Filipina, Amerika Syarikat, Perancis dan Thailand.