top of page
muinsapidin

Nizar terus gunakan isu USAS serang kerajaan

IPOH: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin terus menggunakan isu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sebagai bahan utama perbahasannya dengan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Antara tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering itu ialah USAS hilang identiti Islamik, berlaku pencabulan dan masyarakat tertipu kononnya ia bukan univerisiti awam seperti yang diumumkan kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di dalam reaksinya percaya, wakil rakyat itu mendapat maklumat yang tidak tepat dari sumber yang telah dikenalpasti.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk melemparkan tuduhan terhadap pensyarah yang kononnya telah melakukan pencabulan hanya berdasarkan cakap-cakap.

"Apakah dia (Nizar) ada bukti untuk tuduh Dr Roslan (mencabul) dan dia menyebut nama orang itu dalam dewan. Saya juga ada dengan macam-macam orang cakap mengenai pemimpin pembangkang membuat itu dan ini tetapi saya tidak sewenang-wenangnya guna apa yang saya dengar dengan membuat tuduhan dalam Dewan ini," katanya merujuk kepada tuduhan Nizar terhadap pensyarah USAS.

Beliau berkata serangan tiada henti Nizar terhadap USAS, akan melemahkan semangat pegawai dan pensyarah universiti itu dan ini boleh merencatkan usaha mereka menaikkan nama universiti.

Beliau melahirkan rasa hairan bagaimana Nizar boleh mengatakan USAS sudah hilang identiti Islamik semata-mata kerana tidak ada perkataan Islam di dalam namanya.

“Sekarang USAS tidak ada lagi perkataan Islam, apakah sudah tidak Islamik.

“Apakah setiap benda mesti diletakkan Islam baru dikatakan Islamik, adakah Universiti Al-Azhar ada nama Islam…tiada,” katanya dalam sidang media di luar persidangan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri pada Rabu.

Dr Zambry turut hairan bagaimana Nizar boleh mendapat maklumat kononnya USAS sebuah universiti awam sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan ia sebagai universiti penuh, dengan bantuan penuh.

Menurutnya, kerajaan negeri masih mempunyai kuasa penuh ke atas universiti itu yang merupakan model baharu dengan Kementerian Pengajian Tinggi.

Katanya, pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk meningkatkan lagi USAS menjadi universiti terkemuka.

Beliau memberitahu, antara usaha itu ialah melantik beberapa tokoh besar sebagai fellow universiti, contohnya, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan yang juga bekas Menteri Luar Thailand.


39 views0 comments
bottom of page