top of page
muinsapidin

Jangan Bawa Isu Negeri Lain Dalam Sidang DUN Perak

Ipoh: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kecewa dengan sikap wakil rakyat pembangkang yang suka membandingkan isu negeri lain, khususnya Pulau Pinang dan Selangor yang tidak relevan dengan isu yang berlaku di Perak.

Beliau berkata, pembangkang sering kali membuat perbandingan dengan apa yang dilaksanakan Pulau Pinang sedangkan yang harus menjadi keutamaan adalah isu yang berlaku di negeri Perak, untuk rakyat Perak.

"Ia agak mendukacitakan dan saya agak hairan, setiap tahun pembangkang suka ambil Pulau Pinang sebagai contoh…seolah-olah Pulau Pinang sahaja model yang baik.

"Saya tak mahu kritik Pulau Pinang kerana Pulau Pinang ditadbir Ketua Menterinya, Lim Guan Eng…tidak baik untuk saya mengkritik beliau.

"Guan Eng mengurus Pulau Pinang manakala saya urus Perak…jadi biarlah isu negeri masing-masing dibincangkan dalam sidang DUN masing-masing," katanya pada sidang media di Sidang DUN pada Rabu.

Dr Zambry berkata, biarlah urusan dan isu negeri dibincangkan di negeri masing-masing dan tidak perlu dibanding-bandingkan.

Menurut beliau, apabila isu yang berlaku di negeri dibandingkan, ia hanya akan mewujudkan sikap ingin mempertahankan diri dan masing-masing akan membuktikan apa yang terbaik dan dalam masa sama mencari keburukan pihak lain.

"Kita tak mahu terheret dalam konflik antara negeri, ini adalah perkara yang tidak baik, sepatutnya Ahli Dewan tidak menggunakan Dewan Negeri dalam membicarakan soal Pulau Pinang atau negeri lain.

"Jadi, janganlah buat perbandingan antara negeri kerana masing-masing ada masalah sendiri…Pulau PInang ada masalah, Selangor ada masalah malah Perak juga ada masalahnya," ujarnya.

Dr Zambry turut hairan apabila pembangkang terus mengatakan Bajet 2017 negeri Perak sebagai teruk hanya kerana adanya defisit RM129 juta.

“Apakah defisit Pulau Pinang RM600 juta tidak terburuk dan apakah defisit Selangor lebih RM900 juta tidak terburuk? soal beliau.


63 views0 comments
bottom of page