top of page
muinsapidin

Hakim Lihat Kereta Kevin Morais di Hutan Melintang

BAGAN DATOH: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengendalikan kes Datuk Anthony Kevin Morais pada Rabu meluangkan masa seharian melawat tiga lokasi penemuan bahan bukti dalam kes pembunuhan kejam yang berlaku pada September tahun lepas.

Tiga lokasi itu ialah tempat simpanan barang kes di Balai Polis Hutan Melintang, ladang sawit di Kampung Sungai Manik dan sebatang sungai di Kuala Selangor.

Tempat simpanan barang kes menempatkan rangka kereta milik mangsa yang dibakar, ladang sawit pula tempat kereta itu ditemui dibakar manakala sungai merupakan lokasi pembuangan bahan bukti berupa mesin canai serta barang-barang milik Kevin iaitu jam tangan, beg duit dan cincin.

Hakim Datuk Azman Abdullah tiba di Balai Polis Hutan Melintang dengan menaiki kereta Proton Perdana kira-kira pukul 12.20 dengan diiringi jurubahasa dan kakitangan mahkamah.

Sebelum ini, pasukan pendakwaan yang diketuai Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Saiful Edris Zainuddin serta pihak pembelaan tiba sekitar 11.40 pagi di balai tersebut dengan menaiki lima kenderaan termasuk sebuah trak yang membawa ketujuh-tujuh tertuduh dalam kes itu.

Tertuduh ialah pakar patologi tentera, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 53, yang didakwa bersubahat dengan enam lelaki untuk membunuh mendiang Kevin Morais, 55, yang merupakan Timbalan Pendakwa Raya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas Raya, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept tahun lalu.

Enam lagi tertuduh iaitu empat penganggur, G. Gunasekaran, 48; R. Dinishwaran, 24; A.K. Thinesh Kumar, 23; M. Vishwanath, 26; pelajar kolej, S. Nimalan, 23, dan pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 45, didakwa membunuh mangsa pada masa, tarikh dan tempat sama.

Setelah meluangkan masa hampir 15 minit di Balai Polis Hutan Melintang, pasukan tersebut kemudiannya bergerak ke ladang kelapa sawit Kampung Sungai Samak di mana kereta tersebut ditemui terbakar pada 5 September tahun lalu.

Rombongan berkenaan mengambil masa 30 minit melihat dan meneliti lokasi kejadian sebelum bergerak ke Kuala Selangor yang merupakan lokasi terakhir lawatannya pada pukul 2 petang.

Kevin, dilaporkan hilang sebelum ditemui dibunuh dalam tong dram berisi konkrit pada September tahun lepas.


32 views0 comments
bottom of page