top of page
muinsapidin

Perak Mahu Bina 1,200 Unit Rumah Kos Rendah Tahun Hadapan

IPOH: Perak mahu membina 1,200 unit rumah kos rendah tahun hadapan bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.

Rumah tersebut terbahagi kepada dua kategori yang berharga RM42,000 dan RM70,000 seunit, bergantung kepada keluasan binaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun pemaju swasta dilihat cukup aktif menyediakan rumah-rumah mampu milik di kawasan strategik, penyediaan rumah kos rendah masih kurang mendapat sambutan daripada mereka.

Oleh yang demikian, ujarnya, bagi menggalakkan pembangunan perumahan kos rendah oleh pelbagai pihak, termasuk pemaju swasta, kerajaan negeri mulai tahun hadapan memperkenalkan pemberian insentif yang lebih menarik meliputi insentif dan pengecualian caj.

“Pemotongan bayaran premium tanah antara 71% hingga 75% ke atas pembangunan perumahan kos rendah, menjadikannya hanya rm 100 bagi tiap-tiap unit yang dibangunkan nanti.

“Insentif ini dilaksanakan berdasarkan kaedah tuntutan semula setelah pembinaan selesai dilaksanakan.

“Caj pemajuan yang sebelum ini dikenakan 25 peratus telah dikurangkan kepada 10 peratus pada tahun 2015…namun, atas keprihatinan kerajaan negeri, ingin saya umumkan, caj pemajuan ini akan dikurangkan lagi kepada 5 peratus khusus untuk pembangunan rumah kos rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2017 Perak ketika sidang Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri juga telah memberi pengecualian sepenuhnya bagi tujuh lagi caj yang sebelum ini perlu ditanggung oleh pemaju, iaitu fi kebenaran merancang; fi pelan kerja tanah; fi pelan r&d; bayaran papan hoarding; permit rumah kongsi; permit papan tanda; serta pelan lampu jalan.

Ujarnya, kesemua insentif dan pengecualian itu adalah dikhususkan bagi pembangunan perumahan kos rendah semata-mata, dan akan dilaksanakan bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2018.

“Kerajaan berharap dengan insentif ini, ia akan memberikan manfaat kepada semua, demi menjayakan hasrat kerajaan memberi rumah yang selesa dan mampu milik kepada seluruh golongan sasar,” kata beliau.


103 views0 comments
bottom of page