top of page
  • muinsapidin

Perak bentang Bajet 2017 berjumlah RM1.2 bilion

IPOH: Dengan tema ‘Pertumbuhan dan Kesejahteraan’ bertujuan mempastikan kesinambungan pembangunan, Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Bajet 2017 yang berjumlah RM1.2 bilion dengan defisit RM129 juta.

Ketika membentangkan Bajet itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata defisit itu termasuk dana RM100 juta yang diperuntukan kerajaan negeri bagi menggerakkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) bagi memastikan Perak lebih bersedia menghadapi senario ekonomi global.

Menurutnya daripada peruntukan itu, RM806.28 juta disediakan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM401.76 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

"Dengan mengambil kira unjuran hasil sebanyak RM1.04 bilion dan terimaan pembangunan berjumlah RM36 juta serta perbelanjaan mengurus dan pembangunan, maka Bajet 2017 diunjur sebagai bajet desifit sebanyak RM129.67 juta," katanya ketika membentangkan Bajet Perak 2017 di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya bajet bagi tahun depan itu dirangka berteraskan tanggungjawab dan komitmen kerajaan negeri bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Daripada jumlah berkenaan, RM806 juta diperuntukkan untuk anggaran perbelanjaan mengurus tahun 2017 yang terdiri daripada RM341.94 juta bagi perbelanjaan Emolumen, RM253.25 juta bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM12.46 juta bagi Pembelian Aset, RM196.23 juta untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap serta RM2.40 juta untuk lain-lain perbelanjaan.

“Peruntukan Pembangunan tahun 2017 pula disediakan sebanyak RM401 juta dengan sektor sosial dan kesejahteraan rakyat menerima agihan tertinggi iaitu RM304.17 juta, diikuti infrastruktur berjumlah RM79 juta dan RM18.6 juta untuk sektor ekonomi,”katanya.

Ujarnya lagi, Bajet Tahun 2017 juga akan memastikan kesinambungan pembangunan dapat terus dilaksanakan oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Bantuan khas RM500 buat penjawat awam

Dalam Bajet 2017, Menteri Besar turut mengumunkan bantuan khas RM500 buat penjawat awam bulan depan.

Beliau berkata bantuan itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.1 juta.

Sementara itu bagi menghargai penjawat awam yang akan bersara tahun depan, kerajaan negeri meneruskan penyediaan insentif khas berjumlah RM1.2 juta.

Dr Zambry berkata bagi menghargai usaha ketua kampung pula, kerajaan negeri mulai tahun depan akan membayar elaun tambahan RM200 seorang kepada 17 ketua kampung Felda yang keseluruhan berjumlah RM0.04 juta.

Elaun sebanyak RM800 seorang akan turut dibayar kepada tujuh ketua kampung India yang keseluruhan berjumlah RM0.07 juta, katanya.


147 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page