IPOH: Tulisan jawi seharusnya diangkat setaraf dengan tulisan rumi memandangkan ia adalah warisan masyarakat Melayu sejak berabad lamanya.
Oleh itu, orang Melayu mesti berbangga dengan tulisan jawi sebagaimana orang China berbangga dengan Tembok Besar China, Mesir dengan Piramid dan India menerusi Taj Mahal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi berkata, masyarakat kini cenderung menggunakan tulisan rumi berbanding jawi sehingga melupakan jawi.
“Malang sekali jika generasi akan datang terpaksa mewarisi satu sistem masyarakat yang maju tetapi dangkal terhadap nilai-nilai peradaban dan budaya bangsa sendiri.
“Ada juga di antara kita yang malu untuk belajar jawi, seolah-olah jawi hanya untuk pelajar yang mengikuti bidang pengajian Islam sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Semarak Jawi@Perak 2016 kali ke-6 di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Maizan Ismail dan Pengarah PPPANPk, Nazari Abdul Hamid.
Sementara itu, Maizan berkata, perkembangan tulisan jawi perlu seiring dengan kemajuan teknologi memandangkan maklumat kini boleh dicapai di hujung jari.
Menurutnya, terdapat usaha dari pelbagai pihak yang boleh dibanggakan melalui pembangunan aplikasi pembelajaran jawi seperti Tulis Jawi, Mari Belajar Jawi dan Jom Jawi.
“Kita perlu imbas kembali suatu ketika dahulu tulisan jawi menjadi ‘lingua franca’ dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Kita mahu kembalikan kegemilangan tulisan jawi,” ujarnya.
Karnival Semarak Jawi@Perak diadakan selama dua hari 14-15 November 2016 dengan pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel, pameran, persembahan bercerita, pertandingan khat jawi, jualan produk berkaitan jawi dan kraftangan.
Ia bakal diperluaskan di 71 buah perpustakaan di daerah negeri Perak secara berperingkat-peringkat.
Selain itu Bengkel Pengkaedahan Tulisan Jawi dan Bengkel Literasi dan Maklumat turut diadakan untuk memberi pendedahan berguna kepada pengunjung.