top of page

Sekolah Agama Di Pedalaman Muncul Terbaik SRAI

muinsapidin

IPOH: Madrasatul Hidayah Kampung Selarong dari Pengkalan Hulu muncul sekolah terbaik keseluruhan dalam keputusan peperiksaan Sijil Rendah Agama Islam Perak (SRAI) 2016.

Nasreen Sobirah Shariffuddin dari Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Siddiq, Seri Iskandar pula muncul pelajar terbaik, walaupun sekolahnya tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa

menumpang di dewan yang dikelilingi khemah.

Manakala berdasarkan perbandingan gred purata pencapaian mengikut daerah, Daerah Batu Gajah diisytiharkan yang terbaik dengan gred purata keseluruhan 1.4 mata.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, seramai 11,237 calon telah menduduki peperiksaan di seluruh negeri.

“Secara keseluruhannya, tahun ini, gred purata keseluruhan ialah 1.75 peratus mata dan ia menunjukkan peningkatan 1.67 peratus berbanding tahun lalu, iaitu 1.88 mata,” katanya pada sidang media di INTIM di sini pada Isnin.

Menurut beliau, seramai 1,701 calon berjaya memperolehi semua A dalam enam matapelajaran iaitu Lugotul Quran; Akhlak dan Sirah; Al-Quran dan Tajwid; Tulisan Jawi dan Khat; Tauhid dan Feqah serta Al-Quran dan Hafazan.

Keputusan itu, ujarnya, meningkat empat peratus berbanding 1,185 calon yang mendapat semua A pada tahun 2015.

Beliau menambah, 1,193 calon memperolehi keputusan 5A; 1,593 (4A); 1,626 (3A), 1,573 (2A) dan 2,162 (1A) di samping 1,335 calon yang tidak memperolehi sebarang A.

Drs Nizar berkata, pihaknya akan membuat analisa daripada keputusan itu mengenai beberapa perkara yang dianggap menarik dan memerlukan perhatian.

Antaranya, bagaimana sekolah di pedalaman boleh muncul sekolah terbaik, calon yang terpaksa belajar dalam dewan dan bawah khemah boleh menjadi pelajar terbaik dan juga mengapa terdapat 768 calon tidak mencapai tahan yang dikehendaki dalam semua mata pelajaran.

Sementara itu, Penyelia KAFA Daerah Pengkalan Hulu, Isa Idris, 54, yang ditemui berkata, Madrasatul Hidayah Kampung Selarong sering mendapat kejayaan cemerlang seperti muncul terbaik peringkat daerah tahun lalu dan ketiga peringkat negeri tahun yang sama.

Sambil mengucapkan syabas kepada sekolah itu, beliau berharap guru-gurunya dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka untuk terus mencapai kecemerlangan.


187 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page