SELINSING: Impian tiga beradik memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan akhirnya tercapai hari ini (Isnin) apabila wakil dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak menyerahkan sendiri kedua-dua dokumen penting itu kepada mereka.
Lebih membanggakan, usaha berterusan ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat membantu P. Saraswathy, 22, dan dua adik lelakinya P. Satish,16, dan P. Ravi Kumar,15, membolehkan salah seorang daripadanya sempat mendaftar Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) baru-baru ini.
Menurut ibu tiga beradik tersebut, T. Chandra, 52, dia amat berterima kasih kepada Sham yang telah bersusah payah selama ini membantu anaknya untuk memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.
``Hari ini merupakan hari paling gembira buat saya kerana tiga anak saya sudah mendapat sijil kelahiran dan kad pengenalan yang bermakna mereka sudah boleh menyambung belajar dan bekerja untuk membantu keluarga.
``Saya amat kesal kerana disebabkan masalah keluarga serta membuat sesuatu itu dengan sambil lewa, menjadi punca mereka gagal didaftarkan untuk memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan," katanya kepada pemberita di rumahnya di Ladang Gula, Selinsing pada Isnin.
Bagi Ravi Kumar pula dengan adanya dokumen itu, dia berpeluang untuk menyambung pelajarannya ke peringkat lebih tinggi dan bekerja bagi membantu keluarganya suatu hari nanti.
``Saya amat berterima kepada YB Sham kerana berusaha keras selama ini membantu kami adik-beradik untuk memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.
``Jika sebelum ini hidup saya tidak mempunyai arah tujuan dan tidak bermakna tetapi hari ini saya boleh menarik nafas lega kerana berpeluang untuk belajar dan bekerja membantu keluarga," ujarnya.
Sementara itu, Sham berkata, sebelum ini beliau telah menerima aduan daripada jiran adik-beradik tersebut yang memaklumkan mereka tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan sejak kecil disebabkan masalah keluarga.
`` Kes tiga beradik ini sebenarnya boleh dijadikan satu iktibar kepada masyarakat supaya tidak mengambil sikap sambil lewa dalam perkara yang membabitkan isu pendaftaran sijil kelahiran anak-anak.
``Ini kerana akibat tindakan mereka itu akan menyebabkan anak-anak menghadapi masa depan yang gelap, malah boleh dianggap sebagai pendatang asing kerana tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan," katanya.