Larut: Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) terpaksa menggunakan khidmat unit udaranya untuk mengeluarkan dua pelajar wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang terkandas kerana mengalami kecederaan semasa mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Inai di Lata Rambung Teluk Mas di sini.
Helikopter yang membawa kedua-dua pelajar berusia 20-an itu mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Hussien sebelum mereka dibawa ke Hospital Selama untuk rawatan lanjut
Difahamkan, pelajar wanita tersebut merupakan antara 19 pelajar UiTM Shah Alam bersama tiga pegawai pengiring dan seorang malim gunung yang menyertai ekspedisi tersebut sejak Rabu lalu.
Bagaimanapun, ketika peserta memulakan pendakian pada Jumaat lalu, seorang peserta cedera dan ditinggalkan di Kem Kijang bersama dua rakan manakala peserta lain pula meneruskan perjalanan menuju ke puncak Gunung Inai.
Semasa kesemua peserta yang berada di puncak Gunung Inai mula bergerak turun keesokan harinya dan seorang lagi peserta pula mengalami kecederaan di kaki.
Kesemua mereka bagaimanapun berjaya turun sehingga ke kem terbabit sebelum mendapatkan bantuan kecemasan.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohammad Yusoff Abdul Rahman berkata, hanya dua peserta yang cedera dibawa menggunakan helikopter bomba manakala peserta lain meneruskan perjalanan turun seperti biasa.
“Setelah mangsa yang cedera selamat diterbangkan, anggota kemudiannya mengiringi peserta ekspedisi yang lain keluar dari hutan,” ujarnya.