GERIK: Bekas pemain bola sepak Terengganu maut manakala isteri dan dua anaknya berusia setahun dan tiga tahun, cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terlibat kemalangan di Kilometer 55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Hentian Titiwangsa di sini, pada Ahad.
Alfian Aziz, 36, bersama keluarganya menaiki Perodua Alza, dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah, ke Terengganu sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.
Jurucakap Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak berkata,
kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, ekoran rempuhan itu, besi penghadang jalan menembusi cermin hadapan kenderaan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu dikenal pasti sebagai Alfian Aziz yang bekerja sebagai pembantu am Universiti Malaysia Terengganu, maut," katanya.
Ujarnya, mangsa meninggal dunia di Hospital Gerik akibat kecederaan parah di kepala manakala isterinya, Zanariah Ramli @ Danial Malan, 27, serta dua anak mereka Arysha Zahra, 3, dan Aqeef Zafran, setahun, yang cedera menerima rawatan di hospital yang sama.