Slim River: Seramai 24 pelajar UiTM termasuk dua yang sesat selepas mengikuti ekspedisi pengembaraan di Gunung Tumang Batak selamat tiba di Loji Sungai Dara, dekat sini pada Ahad. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Jasfian Jamaluddin berkata kesemua pelajar dari UiTM Pasir Gudang, Johor itu selamat sampai selepas menuruni gunung selama tujuh jam dengan lapan pegawai pengiring ekspedisi. Katanya kesemua pelajar yang terdiri daripada 10 lelaki dan 14 perempuan berusia 20 hingga 24 tahun ini telah pun memulakan perjalanan turun pada jam 4.30 pagi. Mereka yang diringi lapan pegawai pengiring ekspedisi telah ditemukan anggota bomba dipertengahan jalan sekitar 2 kilometer dari loji Sungai Dara sekitar 12 tengah hari, katanya.
"Kesemua pelajar diploma bersama empat pegawai pengiring, dua jurupandu dan dua pembantu jurupandu ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui pemberita di loji berkenaan pada Ahad. Tambah beliau pada petang Jumaat, dua peserta ekspedisi telah terpisah daripada kumpulan berkenaan dan gagal mencari jalan keluar selama hampir 4 jam sebelum ditemui semula oleh salah seorang daripada lapan pengiring yang mengikuti mereka. Dua pelajar yang sesat itu adalah Abdul Rasyid Rosli dan Abu Bakar Sidik Ilis, kedua-dua berusia 20 tahun. "Kumpulan expedisi itu sepatutnya bermalam selama dua malam di gunung itu tetapi pada petang Jumaat sekitar 6.30 petang dua daripada peserta kumpulan mereka sesat. "Mangsa yang sesat telah menghubungi nombor kecemasan 999, sekitar 4 pagi Sabtu mereka telah dijumpai oleh salah seorang pegawai pengiring. Kedua mereka ditemui bersembunyi di sebalik batu kerana kesejukkan," jelasnya.
Tambah beliau, kumpulan ekspedisi tersebut hanya boleh memulakan perjalanan keluar dari gunung itu pada pagi tadi ekoran hujan lebat serta faktor permukaan tanah licin di gunung yang berketinggian 2,083 meter. Jasfian turut memberitahu kesemua pelajar tersebut merupakan peserta Ekspedisi 60 Puncak Gunung sempena 60 tahun penubuhan UiTM.