IPOH: “Jika saya ditakdirkan meninggal dunia hari ini, siapa yang hendak memandikan jenazah saya kerana di rumah ini tiada bekalan air paip,” itulah antara keluhan kecewa pesara RISDA, Jaafar Mohd Isa, 73.
Jaafar mendakwa terpaksa menggunakan air perigi setelah permohonannya kepada Lembaga Air Perak (LAP) ditolak dengan alasan tanah dua ekar miliknya di No. A07, Jalan Tiong, Pengkalan Pegoh, Lahat tiada dalam senarai pejabat tanah.
Alasan itu, dakwanya, tidak masuk akal kerana dia mempunyai bukti surat hak milik tanah tersebut.
Jaafar memberitahu, dia tinggal bersama-sama isteri dan empat anaknya di rumah mereka yang dibina sejak 2012, dengan menjual hasil pertanian seperti pisang, ubi dan sayur-sayuran untuk meneruskan kehidupan.
Dia hairan mengapa LAP menolak permohonnya sedangkan Pejabat Tanah Kinta telah mengeluarkan surat hakmilik pada 5 Oktober 2009, bagi membolehkannya mendirikan rumah dan menetap di tanah berkenaan.
Menurut pesara itu, mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air perigi di samping mengambil air bukit dari Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands untuk keperluan makan minum dan membasuh pakaian.
“Kadangkala apabila bekalan air terputus, saya terpaksa mendapatkan air paip di kilang tempat isteri saya bekerja di Lahat, selain membeli air mineral,” ceritanya.
Menurut Jaafar, dia sudah putus harapan kerana tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu bagi membantunya menyelesaikan masalahnya sekeluarga.
Sehubungan itu, dia merayu jasa baik Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk campur tangan, membantu menyelesaikan masalah yang terpaksa mereka tanggung sejak lima tahun lalu.