SLIM RIVER: Dua pelajar UiTM yang terkandas sejak petang Jumaat di Gunung Tumang Batak dekat sini akhirnya dilaporkan dalam keadaan selamat sekitar pukul 4 pagi Sabtu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Penolong Penguasa Bomba Jasfian Jamaluddin berkata kedua-dua mahasiswa itu bagaimanapun masih berada di dalam kawasan pergunungan yang terletak bersempadan Perak-Pahang itu.
"Sekitar pukul 4 pagi, kami telah mendapat panggilan daripada pegawai pengiring bahawa kedua berjaya ditemukan. Keadaan mereka selamat dan dijangka dibawa keluar selewat-lewatnya petang Sabtu. "Kedua-dua mereka dalam kesejukan dan kelaparan berikutan hujan lebat, selain berada dalam ketakutan kerana terancam dengan binatang buas. "Justeru, kami telah memindahkan pusat kawalan operasi Bomba ke Ulu Slim supaya operasi mengeluarkan mangsa dapat dibuat secepat mungkin. Kami jangkakan mereka dapat dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini,"katanya. Ujar beliau mangsa merupakan dua peserta ekspedisi pengembaraan terdiri daripada 74 pelajar dan terbahagi kepada dua kumpulan.
Satu kumpulan 34 pelajar UiTM Shah Alam telah mendaki Gunung Liang di kawasan sama turun dengan selamat ke jalan utama petang semalam, katanya.
Manakala 38 pelajar UiTM Pasir Gudang yang menaiki Gunung Tumang Batak kini masih berada di Pos Loji Sungai Dara, katanya. Jelasnya, pihaknya mendapat panggilan daripada kedua mangsa yang menghubungi 999 sekitar pukul 6.27 petang Jumaat setelah mereka gagal mencari jalan keluar. "Buat masa ini, kami sedang melakukan cara terbaik untuk memastikan kedua-dua mangsa sesat dapat dikeluarkan secepat mungkin kerana bimbang fizikal mereka akan bertambah lemah dan terjejas. "Keseluruhan operasi melibatkan 50 orang terdiri daripada Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM), Rela, dan PDRM.
Kami turut dibantu 13 orang awam yang masuk ke kawasan pergunungan itu bergilir-gilir bagi membantu operasi,"katanya lagi.