top of page
muinsapidin

31 Mahasiwa Daki Gunung Tumang Batak Dijangka Turun Awal Pagi Ahad

SLIM RIVER: Seramai 31 mahasiswa UiTM, termasuk dua orang yang sesat selepas mengikuti ekspedisi pengembaraan di Gunung Tumang Batak akan memulakan perjalanan mereka untuk turun awal pagi Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Jasfian Jamaluddin berkata, berdasarkan maklumat daripada ketua ekspedisi, semua 31 pelajar dari UiTM Pasir Gudang itu berada dalam keadaan sihat dan sedang berehat sebelum perjalanan turun.

Katanya, kesemua mereka akan bermalam di titik perhentian atau check point terakhir G7 sebelum meneruskan perjalanan turun selepas subuh esok.

"Dua pelajar yang sesat, Abdul Rasyid Rosli dan Abu Bakar Siddik Ilis,juga telah bersama dengan rakan-rakan mereka di lokasi berkenaan," katanya kepada Suara Perak pada Sabtu petang.

Tambahnya, perancangan untuk perjalanan turun ke jalan utama terpaksa ditunda berikutan hujan lebat yang menyebabkan tanah licin, selain ingin memberi rehat yang cukup kepada semua peserta.

Jasfian memberitahu, operasi menyelamat penuntut yang sedang mengikuti Ekspedisi 60 Puncak Gunung sempena 60 Tahun Penubuhan UiTM itu turut dibantu oleh malim gunung dan orang awam, selain pihak berkuasa.


40 views0 comments
bottom of page