SUNGAI SIPUT: Nasib 10 keluarga di Kampung Setinggan Jalan Kolam, Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini yang menjadi mangsa ribut dua hari lalu, mendapat pembelaan kerajaan.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk C Sivarraajh menyerahkan bantuan segera sumbangan wang tunai bagi meringankan beban keluarga itu, selepas bumbung rumah mereka rosak dalam kejadian hujan ribut.
Menurut beliau, sumbangan itu adalah antara bukti keprihatinan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk memastikan tiada rakyat yang tertinggal dan terpinggir.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan, tanpa mengira ideologi politik,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa pada Sabtu.
Beliau yang juga Ketua Pemuda MIC Kebangsaan mengucapkan terima kasih kepada jabatan dan agensi kerajaan yang turut membantu mangsa, termasuk Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang datang pada hari kejadian.
Bagaimanapun, Sivarraajh kesal kerana difahamkan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar yang tidak datang untuk membantu.
Dalam pada itu, beliau juga memohon jasa baik pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar turut membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
“Saya sendiri akan memanjangkan perkara ini kepada Pengarah JKM negeri,” ujarnya.