Akaun Twitter Palsu, Raja Ahmad Buat Laporan Polis
- muinsapidin
- Nov 11, 2016
- 1 min read
IPOH: Bekas Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar membuat laporan polis mendakwa namanya telah digunakan untuk membuka akaun Twitter palsu yang turut mengandungi gambarnya.
Status tweet itu antara lain cuba memburuk-burukkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ahli Parlimen Larut, berkenaan isu minyak masak.

Raja Ahmad membuat laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Senam di sini, meminta pihak polis menjalankan siasatan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
Sambil menyatakan rasa kesalnya terhadap perkara tersebut, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak berkata, beliau tidak tahu apakah motif pihak berkenaan.
“Sebagai orang yang waras, saya tidak akan membuat perkara macam ini, yang saya anggap serius, itu sebab saya segera buat laporan polis sebaik sahaja dimaklumkan mengenainya oleh seorang kawan, malam tadi,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Selain pihak polis, Raja Ahmad berharap agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga menyiasat untuk mengenalpasti pihak yang terlibat dan mengambil tindakan tegas.
Beliau berpendapat, tindakan tegas perlu bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku kepada orang lain.
“Jika pihak berkuasa telah mengenalpasti pihak yang terlibat, saya juga akan mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.
Beliau bagaimanapun percaya, pihak yang mengunakan akaun Twitter palsu itu berniat jahat, tambahan pula beliau tidak lagi aktif di dalam politik.







Comments