top of page
muinsapidin

Jangan Potong Gred Padi Sesuka Hati – Tajudin

LANGKAP: Pengilang dan pembeli padi berlesen tidak boleh mewenang-wenangnya memotong gred padi kerana ia boleh menyebabkan pesawah mengalami kerugian.

Sebaliknya, mereka perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman menegaskan, kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik, termasuk menarik semula lesen yang dikeluarkan kepada mereka.

Menurutnya, langkah kerajaan menaikkan harga padi kepada RM1,200 setan mulai 2014 untuk membantu pesawah, akan sia-sia jika pengilang dan pembeli padi cuba mengaut keuntungan berlebihan.

“Kadang-kadang boleh berunding pula, hari ini 26, esok 25, bila ada komplen pula, boleh turun jadi 24, ini tidak professional.

“Kita hendak mereka yang menggredkan kualiti padi mesti bersikap professional, ikut garis paduan yang telah ditetapkan, tetapi kalau dah boleh berunding, itu dah tak ikut dah maknanya.

“Itu yang sebab kadang-kadang ikut suka dia aje, kalau dia nak potong tinggi dia potong tinggi, nak potong rendah, dia potong rendah, tak bolehlah macam tu, that is wrong,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan pesawah padi di kawasan Sungai Manik dan Chui Chak di dekat sini pada Rabu.

Beberapa pesawah yang ditemui mengeluh kerana pihak kilang dan pembeli padi mengenakan potongan berat sehingga 26 peratus, berbanding hanya sekitar 22 peratus sebelum ini.

Pesawah dari Chui Chak, Teng Foh Swee, 51, berkata, dalam keadaan ekonomi sekarang, sekiranya pekilang membuat potongan yang tinggi, akan membebankan para pesawah.

“Bila potongan tinggi, kita susah mahu cari makan sebab sekarang barang semua mahal,” keluhnya.

Rakannya, Kong Mek Nyak, 69, pula berkata, setiap kali musim menuai padi, pelbagai masalah yang timbul, termasuk pemotongan yang tinggi di samping berlaku kesesakan di kawasan kilang.

“Dulu tak ada macam ni, dulu potongan hanya 18 peratus dan paling tinggi, 20 peratus, saya harap kerajaan boleh mengawal semua ini, termasuk mengawal beras import oleh Bernas,” ujarnya.


34 views0 comments
bottom of page