Perak berharap dapat menjadi peneraju dalam mengetengahkan pelbagai program yang berteraskan sukan dan kecergasan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu menjadikan Perak negeri sukan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya hidup sihat.
Justeru, katanya Pangkor MTB Challenge & Santai Walk yang diadakan di Pulau Pangkor akan diangkat menjadi acara tahunan.
Kata beliau program yang mendapat sambutan menggalakkan itu akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan dan sukan negeri.
"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan apa sahaja program atau aktiviti yang ada kaitan dengan sukan dan kecergasan.
Hasrat kita adalah untuk jadikan Perak negeri sukan. Secara tidak langsung kita dapat galakkan orang ramai mengamal budaya hidup sihat.
Malah saya sendiri seorang yang aktif bersukan seperti berlari, berbasikal dan main bola," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan peserta Santai Walk di Sungai Pinang Kechil padi Ahad.
Dr Zambry dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli turut menyertai 2,000 peserta santai walk berjalan lebih 5 kilometer.
Menteri Besar kemudiannya melepaskan 300 peserta berbasikal MTB Challenge sejauh 25km mengelilingi pulau.
"Program ini pernah diadakan sebelum ini, dan kali ini kita nak jadikan ia acara tetap. Selain dapat menarik golongan bersukan, ia sudah tentu dapat menaikkan imej Pangkor sebagai destinasi pelancongan," katanya.
Beliau melahirkan rasa teruja kerana Pangkor MTB Challenge telah berjaya menarik penyertaan daripada seluruh negara.
"Bagi penduduk Pangkor pula, program sebegini amat dinanti-nantikan kerana mereka dapat menyertai satu program sihat dalam skala yang agak besar," katanya.