IPOH: Pakatan Harapan Perak optimis tidak akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara parti gabungan pakatan itu dengan PAS dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke 14 nanti.
Menurut Pengerusi Parti Keadilan Perak, Senator Dr Muhammad Nur Manuty, Pakatan Harapan sedang menyusun strategi bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya umum itu.
``Apa yang kami mahukan pertandingan satu lawan satu dengan BN dan optimis tidak akan berlaku pertandingan tiga penjuru nanti,’’ katanya kepada pemberita di Konvensyen Pertama Pakatan Harapan Perak 2016 di Hotel Ritz, Ipoh pada Ahad.
Menurut Muhammad Nur, beliau berpendapat pertandingan tiga penjuru perlu dielakkan kerana ia akan memberi kelebihan dan kemenangan kepada BN.
``Bersandarkan kenyataan pemimpin-pemimpin PAS, mereka juga mahu mengelak dari berlakunya pertandingan tiga penjuru.
``Kita dalam Pakatan Harapan perlu bersiap sedia dari sekarang dan menyusun strategi untuk menumbangkan BN dalam PRU ke 14 nanti,’’ ujarnya.
Ditanya mengenai perbincangan Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, beliau berkata, Pakatan Harapan telah menemui pemimpin tertinggi parti itu dan menyusun beberapa program bersama.
Beliau memberitahu, satu lagi perbincangan dijangka diadakan di antara Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Parlimen Selasa ini termasuk isu PRU14.