top of page
muinsapidin

Jangan Viral Berita Tidak Sahih – Keluarga Ustaz Kazim

IPOH: Keluarga penceramah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias meminta orang ramai supaya tidak memviralkan berita tidak sahih mengenai keadaan penceramah itu yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh, kerana tidak sihat.

Abang beliau, Datuk Mohd Najmudin Elias berkata, Ustaz Kazim kini berada dalam keadaan stabil dan sudah dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan endiskopi pada jam 11.30 pagi Ahad.

Menurut beliau, mereka sekeluarga sedih dan kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu mengenai kononnya Ustaz Kazim disihir, nazak, malahan ada yang berkata sudah meninggal dunia.

"Saya meminta mana-mana pihak sama ada musuh mahupun rakan kepada Ustaz Kazim agar menghentikan spekulasi mengenai keadaan adik saya ini.

"Doktor akan memberitahu keputusan pemeriksaan pada petang ini dan saya akan sentiasa memberitahu pihak media untuk sebarang perkembangan lanjut," katanya ketika ditemui di pusat pendidikan al-baraqah di sini pada Ahad.

Semalam, Ustaz Kazim dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini selepas mengadu sakit perut serta mengalami muntah, cirit birit dan penat luar biasa.


32 views0 comments
bottom of page