top of page
muinsapidin

Rasuah, cukai tinggi antara penyebab kerosakkan negara - Sultan Nazrin

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah rasuah yang berleluasa dan sistem cukai yang tinggi boleh menyumbang kepada jatuhnya sesebuah negara dengan kuasa pemerintahan berpindah ke tangan pihak lain.

‎Baginda turut mengingatkan bahawa pemimpin yang leka sehingga mengabaikan rakyat, negara dan agama juga akan membuka pintu kepada pelbagai.

Mengambil contoh kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis pada 1511, Sultan Nazrin bertitah ‎sejarah penjajahan itu perlu dijadikan pengajaran.

"Rasuah berleluasa, sistem cukai yang tinggi yang diperkenalkan, mengakibatkan para pedagang beralih ke pelabuhan lain.

"Perdagangan di Melaka merosot dalam suasana berlakunya perpecahan sesama bangsa, berlakunya perselisihan, pengkhianatan rakyat tempatan dengan dibantu oleh orang luar," titah baginda.

‎Dalam titah itu baginda turut mengambil contoh kejatuhan peradaban Agung Andalusi yang berpunca daripada keruntuhan ukhuwah dan pentadbiran diserahkan kepada mereka yang kurang bijaksana. Titah baginda, keretakan Andulusia bermula apabila wujudnya semangat puak dan sikap fanatik yang tidak menghiraukan pentingnya ukhuwah Islamiah.

Malah masalah dalaman, bergaduh dan bercakaran, saling menindas sesama sendiri untuk merebut kuasa khalifah dan penguasaan wilayah telah memburukkan lagi keadaan, titah baginda. "Kejatuhan pemerintahan Islam di Andalusia, turut disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran, antaranya tiada mekanisme baik dalam menyediakan pengganti yang layak serta pengganti yang berwibawa, sementara di kalangan barisan pewaris pula, sudah terlalu korup, tiada akauntabiliti dan telah hilang integriti,"titah Baginda. Baginda bertitah, berlakunya penyimpangan besar dalam pemerintahan Andalusia adalah apabila tanggungjawab serta amanah diserahkan bukan pada ahlinya, sementara kesenangan dunia pula telah merosakkan generasi muda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-60 baginda di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini pada pagi Sabtu. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, anakandanya Raja Azlan Muzaffar Shah yang juga Raja Kechil Besar serta Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim. Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong, dan Ketua Polis Negara,Tan Sri Khalid Abu Bakar serta beberapa Menteri Kabinet.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan isterinya Datin Seri Saripah Zulkifli, dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Justeru Sultan Nazrin mengingatkan semua pihak agar belajar daripada sejarah supaya kesilapan lampau tidak diulangi.

Titah baginda, sejarah bukannya ramalan tetapi merupakan catatan peristiwa yang telah berlaku berdasarkan fakta, satu rekod yang tepat malah konsisten dan tidak berubah untuk dijadikan sebagai rujukan, teladan serta panduan. "Mereka yang lupa akan sejarah, akan didera dengan mengulangi kesilapan yang sama berulang kali,""titah Baginda.

‎Mengakhiri titah, Sultan Nazrin turut berkenan menzahirkan penghargaan ke atas ​kesepakatan yang diberikan barisan kepimpinan negeri, para Hakim, para ulama, para umara, ahli-ahli Dewan Negeri, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu dan imam serta Jawatankuasa Kemajuan Kampung. "Masing-masing telah menyempurnakan amanah untuk membantu supaya negeri Perak terus dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warganya berada dalam sejahtera,"titah Baginda. Pada majlis penuh isitiadat tersebut, Sultan Nazrin menganugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat negeri kepada 33 daripada keseluruhan 333 penerima di mana bakinya akan menerima darjah kebesaran masing-masing pada isitadat 12 Nov ini.


39 views0 comments
bottom of page