IPOH: Laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Utara dari Ipoh menghala ke Kuala Kangsar berhampiran terowong Menora sesak hampir lima kilometer berikutan kemalangan melibatkan dua buah lori.
Kemalangan tersebut berlaku sekitar 1.30 petang Khamis dan setakat 5.30 petang kesesakan di laluan kiri lebuhraya masih belum reda.
Difahamkan, masa perjalanan di lebuhraya PLUS sedang mengalami kelewatan selama 45 minit dan pengguna lebuhraya menghala ke Utara dinasihatkan untuk menggunakan laluan Sungai Siput untuk ke susur Kuala Kangsar.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Mohd Rodzi berkata terdapat seorang mangsa tersepit dan telah dikeluarkan oleh pihaknya menggunakan peralatan memotong khas.
"Kami menerima panggilan sekitar 1.44 petang dan mendapati satu kemalangan melibatkan dua lori dan seorang mangsa telah tersepit.
"Kerja-kerja mengalihkan dua lori yang terlibat dalam kemalangan masih lagi berjalan. PLUS telah membuka sebuah laluan alternatif bagi membantu kelancaran lalu lintas,"katanya ketika dihubungi Suara Perak.