top of page
muinsapidin

MBI Diminta Tingkat Keselamatan Jalan Raya Di SJKC Bercham

IPOH: Warga pendidik dan ibu bapa pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) (SJKC) Bercham merayu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mempertingkatkan tahap keselamatan jalan raya di sekolah berkenaan.

Pengetua sekolah, Tan Koh Sun berkata, ini kerana keselamatan 1,950 pelajar sekolah itu seakan telur di hujung tanduk setiap kali sesi sekolah bermula dan berakhir.

“Amat bahaya bagi pelajar-pelajar untuk melintas jalan setiap kali datang atau balik sekolah kerana kereta di sini selalunya laju seakan-akan mereka tidak sedar ada sekolah di sini.

“Kita hanya ada dua bonggol kecil sahaja di depan dan dua lagi di belakang sekolah tetapi warnanya sudah pudar dan kebanyakkan pemandu tidak nampak kerana papan tanda juga tiada,” katanya dalam satu sidang media khas di sekolah berkenaan pada Selasa.

Turut hadir dalam sidang media itu, Pengerusi Jawatankuas Perwakilan Penduduk Bercham, Aldrich Low dan Pembantu Jurutera Bahagian Lalu Lintas MBI, Fazarul Shamsuddin.

Justeru itu, Koh Sun merayu MBI mencari jalan penyelesaian untuk menghilangkan kegusaran ibu bapa serta warga pendidik sekolah itu sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

“Walaupun setakat ini tiada lagi kes tetapi kita tak mahu kejadian yang berlaku di beberapa sekolah baru-baru ini di mana anak-anak tidak bersalah terkorban di kawasan sekitar sekolah, berlaku di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fazarul memberitahu MBI mengambil berat terhadap rayuan tersebut dan akan mengambil tindakan secepat mungkin.

“Kita ambil tindakan dan kemungkinan kita akan wujudkan pejalan kaki di hadapan sekolah ini dan dua lagi bonggol bagi memastikan kereta lalu lalang diperlahankan serta selamat untuk pelajar-pelajar melintas.

“Dalam masa yang sama kita akan bina juga speed breaker pada setiap bonggol yang akan dibuat serta sedia ada selain mengecatkannya semula,” ujarnya selepas melakukan tinjauan di sekolah berkenaan.


23 views0 comments
bottom of page