TAIPING: Tindakan pantas Mohd Saifullah Mat Amin yang mencurigai keadaan kanak-kanak 11 tahun yang kelihatan sugul di stesen bas di sini akhirnya berjaya mematahkan satu cubaan culik daripada berlaku. Nelayan berusia 24 tahun itu berkata beliau sedang memandu lori milik syarikatnya ketika ternampak adik Muzaffar Mohamad bersendirian di stesen bas Taiping pada 4.30 petang Sabtu.
Menurutnya melihat keadaan Muzaffar beliau merasa tidak sedap hati. "Saya dah lalu tempat adik Muzaffar duduk di sudut perhentian bas. Disebabkan hujan tengah lebat saya tak jadi nak memancing, saya nak segera pulang ke rumah. "Entah tiba-tida hati saya rasa tak sedap sangat dan saya buat pusingan u-turn ke arah Muzaffar yang berseorangan untuk bertanya keadaannya,"katanya kepada Suara Perak. Jelasnya, beliau tidak dapat melupakan ayat pertama yang diluahkan oleh adik Muzaffar sewaktu beliau bertanya mengenai tujuannya duduk di perhentian bas itu. "Saya tunggu ayah...kawan ayah kata ayah akan datang ambil saya tapi dari pagi ayah tak sampai-sampai,"kata Muzaffar. Mohd Saifullah berkata beliau mula menyoal Muzaffar dengan pelbagai soalan sebelum membawanya untuk makan setelah diberitahu dia tidak menjamah makanan seharian.
"Muzaffar memberitahu saya dia mengikut kawan ayahnya yang tidak dikenali ke tempat berkenaan dan menginap di hotel pada malam sebelumnya, saya mula curiga. "Saya kemudian membuat satu nota di perhentian bas, manalah tahu ayahnya ke sana sebelum menghantarnya ke Masjid India berhampiran sekitar 4.30 petang,"katanya. Saifullah kemudiannya membuat keputusan untuk membawa adik Muzaffar ke balai polis berhampiran kerana berasa ada yang tidak kena apabila diberitahu bahawa ayahnya berada di Pulau Pinang. "Selepas saya sampai di sana dan selesai membuat laporan, barulah polis menjelaskan bahawa adik Muzaffar disyaki menjadi mangsa culik dan ibubapanya telah membuat laporan polis. "Saya tak sangka pun naluri saya berjaya menyelamatkan adik ini daripada menjadi mangsa culik, saya rasa lega dia kini selamat dikembalikan kepada keluarganya,"kata wira tidak didendang ini. Muzzafar dilaporkan hilang sejak pagi Jumaat setelah membonceng motosikal seorang lelaki yang berpura-pura menawarkan bantuan di Jambatan Pulau Pinang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata tindakan segera Mohd Saifullah wajar dicontohi oleh masyarakat setempat dalam bersama membanteras cubaan kes jenayah. "Tindakan orang awam, atau lelaki berkenaan membawa adik Muzaffar iaitu mangsa culik adalah contoh rakyat bertanggugjawab dan berjaya mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku. "Kepada mereka yang ternampak sesuatu yang tak kena dan mencurigakan, jangan buat tak tahu kerana kita masing-masing ada tanggungjawab. "Segera maklum kepada pihak berkuasa,kerana kita perlu sama-sama menjaga kebajikan dan prihatin antara satu sama lain,"katanya. Harrith Kam berkata semua pihak perlu memainkan peranan sebagai penjaga atau ibubapa.
"Jangan terus mudah mempercayai orang lain dalam suatu-suatu perkara. Jika kita ada sikap ini perkara sebegini dapat dielakkan," katanya.