IPOH: Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) menganjurkan program kayuhan amal bersama sukarelawan, David Wu bermula 29 Oktober lalu di Kuala Lumpur dan berakhirnya di Alor Setark, Kedah pada 5 November depan.
Presiden NASOM, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharudin berkata, program Berbasikal Bersama David Wu Untuk Austisme itu antara lain bertujuan mengutip dana bagi mengisi tabung NASOM yang dalam keadaan kritikal sekarang.
Di samping itu, kata beliau, program berkenaan juga diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran orang ramai mengenai austisme, sekaligus mendorong mereka untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan.
“Saya menyeru semua pihak bersama-sama membantu NASOM kerana kami memerlukan kira-kira RM5 juta setahun untuk menguruskan 20 pusat di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta kayuhan itu di NASOM Ipoh di sini pada Isnin.
Selain David, turut mengambil bahagian di dalam ekspedisi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif NASOM, Razin Murat. Megat Ahmad Shahrani turut menyertai mereka untuk perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar.
Presiden NASOM itu memberitahu, sejak kegawatan ekonomi melanda dunia dan negara kebelakangan ini, beberapa syarikat korporat telah mengurangkan atau memberhentikan sumbangan tahunan mereka, menyebabkan dana persatuan semakin berkurangan.
“Mengendalikan pusat NASOM bukanlah seperti tadika biasa di mana seorang guru boleh mengendalikan mungkin sehingga 10 atau 20 orang, tetapi di NASOM, seorang guru hanya mampu menjaga tiga murid sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, David yang berniaga restoran di Singapura sejak 21 tahun lalu memberitahu, dia kembali ke kampungnya di Alor Setar untuk melakukan kerja-kerja amal bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Program pertamanya, Projek Wumah melalui kayuhan solo dari Alor Setar ke China dan berjalan kaki secara solo dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu telah berjaya mengutip kira-kira RM150,000 untuk membantu membaiki rumah-rumah rakyat Malaysia yang terlalu usang.
Sementara itu, Razin memberitahu, kayuhan amal bersama David Wu mensasarkan untuk mengutip sumbangan RM100,000 dan setakat ini, sebanyak RM2,302 telah berjaya dikumpulkan.
Mereka yang berminat untuk memberi sumbangan boleh melayari facebook.com/nasomfundraising atau laman web NASOM.