Meskipun dilahirkan ke dunia baru sebulan, adik Nor Insyirah Sadli sudahpun diuji dengan pelbagai dugaan amat berat sekali untuk ditanggung insan biasa.
Bayi berusia 27 hari ini disahkan menderita ‘hydrocephalus’ iaitu penyakit lebihan cecair dalam kepala menyebabkan kepalanya kian hari kian membersar
Sejak dilahirkan pada 5 Oktober lepas, kepala adik Nor Insyirah sentiasa mengembang sehingga ia berukuran 56 sentimeter (cm).
Lebih menyedihkan, bayi ini turut dilahirkan dengan penyakit Spina Bifida iaitu satu kondisi berkaitan saraf tunjang belakang.
Menurut ibunya Siti Norjamilah Ewan, 25, perubahan saiz kepala Nor Insyirah sudah dikesan doktor ketika tujuh bulan di dalam kandungan.
Ketika bayi ini dilahirkan melalui pembedahan, saiz kepalanya sudahpun berada pada 54 cm, yang mana ia bukan pada saiz kepala bayi normal.
"Dia tidak seperti bayi normal. Saiz kepala Syira membesar sedikit demi sedikit sejak hari dia dilahirkan. Sejujurnya saya saya buntu dan sebagai ibu saya takut untuk fikir apa akan berlaku seterusnya.
"Melihat keadaannya, saya amat sedih namun apakah daya saya, ini semua ujian Allah SWT dan kami sekeluarga perlu tabah menghadapinya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Lampam Kiri, di sini pada petang Isnin.
Siti Jamilah berkata pihak hospital tidak mencadangkan anak bongsunya itu menjalani pembedahan buat masa ini kerana risikonya terlalu tinggi dan peluang untuk sembuh agak tipis.
“Saya terpaksa akur dengan keadaan ini dan berharap yang terbaik untuk anak saya,” kata ibu kepada empat orang anak.
Selain bimbang dengan keadaan bayinya, Siti Norjamilah dibebani dengan kesempitan hidup kerana suaminya Sadli Jalani tidak mampu bekerja setelah disahkan menghidapi masalah radang mata sejak tiga tahun lepas.
Jelasnya, mata sebelah kanan suaminya kini sudah tidak berfungsi manakala penglihatan sebelah kirinya pula kian samar-samar sehingga membataskan pergerakannya untuk bekerja.
"Kini kami terpaksa bergantung bantuan kewangan dari Baitulmal dan duit itulah digunakan untuk membayar bil elektrik dan air serta menanggung tiga lagi anak kami berusia antara dua hingga tujuh tahun," katanya lagi.
Bagi Siti Norjamilah hidupnya kini sudah jatuh ditimpa tangga.
Sebelum ini, berita mengenai bayi kepala besar itu tersebar luas di sosial media setelah netizen berkongsi gambar kesengsaraan Nor Insyirah.
Penderitaan Nor Insyirah itu mendapat perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat setempat dan orang awam yang bersimpati dengan masalah bayi malang itu.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Sadli (08230-41-00005723-7) atau menghubunginya ditalian 0164093158 ataupun akaun Maybank milik Siti Norjamilah (1583-9612-3298).