TAPAH: Pemuda UMNO Bahagian Tapah menggesa penganjur Bersih 5.0 agar tidak mengganggu keamanan sedia ada di sekitar Tapah dengan perhimpunan yang seringkali mencetuskan huru-hara di mana-mana lokasi perhimpunan mereka.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Tapah, Syed Afzarizal Syed Salim berkata, himpunan Bersih 5.0 yang bakal bermula di Temoh pada 12 November depan bakal menggugat ketenteraman yang sedia ada di Parlimen Tapah.
Sehubungan itu, mereka membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat mengekang perhimpunan pasukan baju kuning yang bakal membawa imej buruk kepada ekonomi penduduk setempat itu.
"Ini adalah transit pertama para pelancong sebelum naik ke Cameron Highland, maka mereka akan berhenti di sini, apabila berlakunya himpunan Bersih 5.0 maka secara tidak langsung ia akan menjejaskan pendapatan penduduk, memburukkan imej Tapah.
"Kenapa mereka tak buat sahaja di negeri mereka, Selangor dan Pulau Pinang kerana di kawasan Tapah kami dah cukup aman dan bahagia di bawah teraju kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Temoh, di sini pada petang Isnin.
Menurutnya, kesemua peserta perhimpunan Bersih 5.0 gagal mematuhi seksyen dan peraturan yang ditetapkan dalam perundangan walaupun mereka termaktub dalam Akta 736 Perhimpunan Aman.
Syed Afzarizal berkata, berdasarkan iklan di sekitar Temoh dan Air Kuning serta pekan Tapah, perhimpunan Bersih 5.0 akan diadakan pada 12 November hadapan dan menyeru orang ramai untuk hadir beramai-ramai.
Dalam pada itu, beliau turut memberi komen mengenai kenyataan rahsia kerajaan yang dikeluarkan oleh tiga bekas menteri dan ahli parlimen Malaysia.
"Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan imuniti buat ketiga mereka sebagai ahli parlimen, kerana masih terikat dengan Akta Rahsia Rasmi sebagai seorang bekas penjawat di dalam kerajaan.
"Justeru, isu itu tidak seharusnya berbangkit kerana perkara rahsia sepatutnya disimpan rapi, bersesuaian dengan status mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat dan terikat dengan sumpah ketika menjawat jawatan Menteri," ujarnya lagi.
Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parlimen Tapah, Safri Mohd Salleh.