SUNGKAI: Seorang lelaki warga Singapura dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Tesong dekat FELDA Sungai Klah, Sungkai petang Sabtu.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bidor berkata, Koh Kah Wei, 30 dipercayai terjatuh semasa melakukan aktiviti berkayak ketika hujan dan arus deras kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.48 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian dan dimaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan pencarian di lokasi mangsa terjatuh dan tebing sungai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihak bomba telah membuka pusat operasi di kawasan berkenaan dan usaha mencari mangsa masih diteruskan sehingga hari ini.
"Anggota menghadapi kesukaran berikutan aliran sungai deras manakala paras air meningkat akibat hujan," ujarnya.