Penumpang perkhidmatan tren eletrik (ETS) di Stesen Ipoh yang ingin menuju ke arah selatan negara kecewa dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menurut mereka tidak menepati janji. Walaupun dijanjikan laluan Ipoh-Kampar akan beroperasi seperti biasa seawal 5 pagi ini, mereka masih lagi perlu menggunakan khidmat bas transit dari Stesen Ipoh ke Kampar sebelum menuju ke arah Selatan.
Penumpang, Nor Nadiah Zaini, 22, berkata transit berkenaan telah menambah masa perjalanan daripada dua jam kepada tiga jam sekaligus menjadikan perancangan mereka rosak. “Memang sukar kalau macam ini, saya dah rancang apa yang nak dibuat dan sebagainya untuk hari ini tetapi semua saya perlu batalkan. “Saya faham ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan tetapi KTMB patut beritahu kami hari ini masih lagi menggunakan bas transit,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu. Bagi Osman Yahaya, 59, pula, kegagalan KTMB mematuhi janji mereka seharusnya tidak berlaku. “Kalau boleh kita tak nak perkara seperti ini berlaku tapi apa nak buat sebab ianya satu kemalangan. cumanya pada masa hadapan jangan berjanji sekiranya tidak ada kepastian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Korporat KTMB, Ridhwan Arshad ketika dihubungi berkata kerja-kerja pengalihan gerabak yang tergelincir tersebut mengalami kelewatan disebabkan masalah teknikal berkaitan trek, signal dan eletrik laluan berkenaan. “Kita kena berhati-hati kerana ianya melibatkan keselamatan penumpang, kita mahu kerja pembaikan itu berada di tahap 100 peratus baru kita yakin laluan selamat digunakan. “Cuma semalam kita hadapi beberapa masalah dan ditambah pula dengan hujan tetapi insyallah hari ini juga laluan berkenaan boleh digunakan seperti biasa. Tambah beliuau kesemua masalah tersebut telah diperbaiki dan dijangkakan perkhidmatan ETS untuk laluan Ipoh – Kampar akan bersambung seperti biasa pada jam 2 petang Ahad.