top of page
muinsapidin

Jangkitan Rotavirus tidak jejas kedatangan pengunjung Bukit Merah Lake

BUKIT MERAH: Taman tema air Bukit Merah yang diarahkan tutup berikutan kes jangkitan Rotavirus tidak menjejaskan keyakinan orang ramai untuk menjadikannya ‎lokasi percutian sepanjang cuti panjang hujung minggu bersempena Deepavali.

Taman tema itu dibanjiri pengunjung yang ‎memilih untuk membawa keluarga masing-masing bercuti sejak cuti persekolahan pada Jumaat.

Tinjauan Suara Perak mendapati orang ramai mula mengunjungi taman tema air itu sejak ia dibuka semula pada 26 Oktober.

Sebelum itu, taman tema itu telah diarahkan tutup sejak 28 September atas arahan Kementerian Kesihatan ekoran kes Rotavirus dan Gastroentritis akut .

Seorang pengunjung dari Klang, Nizam Elias, berkata beliau datang ke pusat percutian itu untuk menghabiskan cutinya bersama keluarga kerana Bukit Merah Laketown Resort merupakan antara taman tema air yang sungguh menarik.

"‎Saya pilih Bukit Merah Lake Town Resort untuk menghabiskan cuti saya bersama keluarga kerana di sini mempunyai taman tema airnya yang sungguh menarik. "Memang sebelum ini ada berita tentang Rotavirus dimana taman tema ini ditutup tetapi keadaan sudah kembali pulih dan saya lihat airnya bersih dan tempat ini amat sesuai untuk keluarga bersantai,’’ katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Pulau Pinang, Mohd Zabidi Othman pula berkata, beliau mengambil keputusan bercuti bersama keluarga di Bukit Merah Lake Town Resort kerana ingin ke Pulau Orang Hutan. "Saya dan keluarga sudah bermalam dua hari di sini dan saya tidak melepaskan peluang untuk bermain di Taman Tema ini kerana ia sudah dibuka semula untuk dikunjungi orang ramai. "Memang pada mulanya agak bimbang setelah baca mengenai Rotavirus tetapi setelah datang dan melihat sendiri saya dapati airnya bersih dan keadaan persekitarannya sudah pulih kembali,’’ katanya.

Sementara itu Pengurus Bukit Merah Laketown Resort, Kamal Hussein berkata, pihak pengurusan pusat percutian itu menyanjung tinggi sokongan dan kerjasama para pengunjung dari dalam dan luar Perak kerana masih terus menjadikan Bukit Merah Laketown Resort sebagai lokasi pilihan percutian mereka. "Saya melihat walaupun ada sedikit perkara yang tidak diingini berlaku di pusat percutian ini pada September lalu namun pengunjung masih lagi menjadikan Bukit Merah Lake Town Resort sebagai destinasi pilihan percutian mereka. "Kami di sini mengharapkan dengan adanya `The Giant Wet Bible’ iaitu tarikan terbaru di taman tema air di sini akan dapat menarik lebih ramai lagi pengunjung datang ke sini,’’ katanya.


58 views0 comments
bottom of page