Sambutan hari deepavali sebuah keluarga di Kuala Kangsar bertukar tragedi apabila seorang lelaki yang disyaki mabuk membunuh abangnya ketika bergaduh pada malam Sabtu.
Kejadian pada 9.30 malam itu berlaku setelah mangsa K.Gopal cedera di tengkuk terkena serpihan pinggan pecah yang dibaling adiknya di rumah mereka dekat Kalan Permai, Padang Rengas.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangar Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, mangsa turut mengalami kecederaan di kening kiri.
Katanya adik mangsa K. Sritharan,39, telah membaling serpihan pinggan pecah ketika mereka berdua berperang mulut.
"Ketika kejadian suspek yang sedang makan di ruang tamu mendakwa telah ditampar oleh abangnya sehingga menyebabkan pinggan kaca yang dipegangnya terjatuh dan pecah. “Suspek kemudiannya bertindak membaling serpihan pinggan tersebut ke arah abangnya itu menyebabkan kecederaan di tengkuk dan leher. Ketika pihak perubatan tiba mereka sahkan si abang telah mati. “Kedua-dua mereka bekerja sebagai kelindan lori,” katanya pada satu sidang media khas di pekarangan bilik forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Ahad. Tambah beliau ketika kejadian enam anggota keluarga termasuk ibu, adik perempuan dan lelaki serta adik ipar mangsa berada di dalam rumah berkenaan. “Ahli keluarga mengatakan adik beradik ini memang duduk serumah dengan ibu mereka dan memang sering bergaduh cuma menyangka ia boleh membawa maut," ujarnya. Beliau turut memberitahu suspek telah direman selama lima hari dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.