top of page
muinsapidin

Perjalanan Penumpang ETS Lancar

KAMPAR: Perjalanan para penumpang ETS di Stesen Keretapi Kampar yang menjadi transit utama ketika ini berikutan insiden sebuah keretapi kargo tergelincir di Kampung Bakap dekat Batu Gajah pada Jumaat, berjalan lancar.

Suasana perjalanan para penumpang ETS di Stesen Ipoh pula yang menjadi transit untuk Stesen Kampar bagi perjalanan ke Kuala Lumpur juga berjalan lancar dan terkawal.

Tinjauan Suara Perak pada Sabtu mendapati perjalanan bas transit yang diatur oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) lebih teratur berbanding semalam meskipun terdapat segelintir kecil penumpang yang marah dan kecewa kerana terpaksa menunggu lama disebabkan perkhidmatan bas yang disediakan KTMB tidak mencukupi.

Beberapa orang penumpang yang ditemui melahirkan rasa lega kerana pihak KTMB telah menyediakan perkhidmatan bas yang mencukupi untuk membawa mereka ke destinasi yang dituju tanpa timbul sebarang masalah.

Seorang penumpang dari Kuala Lumpur, Rosli Mat Desa yang ditemui sebaik turun dari Stesen Kampar berkata, beliau dan isteri amat lega dan berpuas hati kerana pihak KTMB menyediakan bas yang mencukupi untuk membawa penumpang ke Stesen Ipoh bagi meneruskan perjalanan ke Utara.

``Semalam saya mendapat berita ramai penumpang tidak berpuashati kerana pihak KTMB tidak menyediakan bas yang mencukupi sehingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama dalam keadaan lapar dan dahaga.

``Apapun saya berterima kasih kepada KTMB kerana bertindak cepat dalam mengatasi masalah itu dengan menambah bilangan bas untuk keselesaan penumpang,’’ katanya.

Seorang penumpang dari Ipoh, Syabatul Aini Ahmad Sadin, juga berpuashati dengan sistem yang digunakan pihak KTMB apabila menambah bilangan bas untuk mengangkut penumpang dari Ipoh ke Stesen Kampar dan sebaliknya.

``Saya tidak merasa bimbang malah lega kerana pihak KTMB menyediakan banyak bas untuk membawa saya dan penumpang lain ke Kampar bagi meneruskan perjalanan saya ke KL Sentral,’’ katanya.

Seorang penumpang ETS, Tammi Larusan berkata, beliau tidak perlu merasa bimbang kerana pihak KTMB sudah mengatur perjalanan bas dengan lancar untuk keselesaan penumpang.

``Saya berterima kasih kepada KTMB kerana menyediakan perkhidmatan bas yang mencukupi untuk membawa saya dan isteri serta tiga anak saya ke Stesen Kampar sebelum meneruskan perjalanan ke KL Sentral,’’ katanya.


28 views0 comments
bottom of page