top of page
muinsapidin

Pelbagai Pihak Tampil Bantu Penumpang ETS

KAMPAR: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pertubuhan politik turut turun ke lapangan membantu meringankan masalah yang dihadapi para penumpang ETS yang terkandas di Stesen Keretapi Kampar berikutan insiden keretapi kargo tergelincir di Kampung Bakap dekat Batu Gajah semalam.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kampar, Yayasan Bina Upaya (YBU), Tourism Perak serta beberapa NGO tempatan memulakan misi bantuan mereka sejak malam tadi dengan mengedarkan minuman air mineral dan roti kepada para penumpang.

Para penumpang tersebut adalah dari KL Sentral yang turun di Stesen Kampar sebelum dibawa menaiki bas yang disediakan oleh pihak KTMB ke Stesen Ipoh bagi meneruskan perjalanan ke utara.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Kampar, Rafidi Mohd Razali, pihaknya dengan kerjasama YBU, Tourism Perak dan beberapa NGO telah mengedarkan lebih seribu botol air mineral dan roti kepada setiap penumpang yang tiba di Stesen Kampar.

``Kami menyediakan meja khas di pintu keluar masuk dan keluar stesen ini bagi mengedar air dan roti kepada para penumpang sebagai pengalas perut sebelum mereka dibawa menaiki bas untuk ke Ipoh untuk meneruskan perjalanan ke utara,’’ katanya kepada Suara Perak pada Sabtu.

Menurut Rafidi, usaha membantu para penumpang ETS di Stesen Kampar akan diteruskan sehingga kerja-kerja membaiki landasan keretapi di Kampung Bakap dekat Batu Gajah selesai dijalankan.

``Kita Pemuda UMNO Kampar, YBU dan beberapa NGO di sini amat memahami masalah yang dihadapi oleh para penumpang ETS sejak insiden gerabak keretapi tergelincir awal pagi semalam.’’ ujarnya.

Menurut beliau, turut membantu para penumpang ETS di Stesen Kampar di sebelah pagi ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Asyilin Mohamed Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kesenian Negeri Perak.

Perjalanan penumpang ETS di Stesen Kampar yang menjadi transit utama ketika ini berikutan insiden sebuah keretapi kargo tergelincir di Kampung Bakap dekat Batu Gajah semalam, berjalan lancar hari ini.


43 views0 comments
bottom of page