BATU GAJAH: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan Ipoh-Kampar dijangka kembali beroperasi seperti biasa bermula seawal jadual perjalanan jam 5 pagi Ahad. Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB), Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata ianya adalah susulan kerja-kerja pengalihan gerabak yang tergelincir dan terkeluar daripada landasan sudah pun siap sebanyak 70 peratus. Menurut beliau perkembangan positif dan progresif ini adalah hasil kerja berterusan KTMB yang memastikan kerja pengalihan gerabak berjalan dengan lancar di sebalik cuaca hujan yang berlaku di sekitar lokasi kejadian, Kampung Bakap dekat sini.
"Buat masa ini, kita menjangka kerja-kerja pembaikan kabel landasan yang putus dan kerosakan lain akan memakan masa selama tujuh hari. "Tren pertama akan bergerak daripada stesen KTM Ipoh ke Gemas dijadualkan seawal jam 5.20 pada hari esok menggunakan satu laluan sepanjang 100 meter yang telah dibaikpulih,"katanya kepada pemberita dalam sidang media di lokasi kejadian berlaku di sini pada petang Sabtu. Ir Nawawi berkata hasil perkembangan tersebut penumpang dijangka tidak lagi perlu menaiki bas transit di stesen Ipoh dan Kampar pada jadual perjalanan pertama esok. Katanya, kerja pengalihan gerabak dilakukan bermula jam 12.30 tengah hari tadi dengan menggunakan sebuah kren yang mampu mengangkat bebanan seberat 360 tan.
Jelasnya, selepas kerja-kerja pengalihan gerabak selesai, kerja membaiki landasan akan dilakukan diikuti dengan kerja memasang semula bekalan elektrik di kawasan yang terjejas. "Kami memahami kekecewaan penumpang yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap harga belian tiket yang lebih mahal dengan perkhidmatan yang sama atau agak kurang memuaskan. "Namun, ini adalah kes darurat dan tidak dijangka. KTMB memohon maaf di atas semua kesulitan dan diharap semua bersabar,"katanya lagi.