top of page
muinsapidin

Wanita Hamil Pura-Pura Beli Gelang Emas

IPOH: Seorang wanita mengandung enam bulan diberkas bersama suaminya kerana melarikan dua gelang emas dari kedai emas di Kampung Rapat, Ipoh pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, wanita berusia 21 tahun itu memasuki kedai emas itu dan berpura-pura hendak membeli dua gelang emas bernilai RM11,000 sebelum melarikannya.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi, apabila suspek memasuki kedai emas itu dan meminta penjaga kedai emas untuk mengeluarkan rantai emas.

“Apabila gelang itu dikeluarkan, dia pun berpura-pura seperti mahu beli dan pakainya di tangan. Ketika penjaga kedai mengambil kalkulator untuk membuat pengiraan, dia terus lari keluar ke dalam kereta yang dipandu suaminya,” katanya ketika ditemui di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Jumaat.

Menurut Sum, tindakan pantas pihak polis berjaya memberkas pasangan suami isteri itu di Desa Pakatan, Pasir Puteh, 15 minit selepas kejadian.

“Kejadian itu dimaklumkan kepada MPV Polis yang sedang buat rondaan dan kita berjaya tahan kereta jenis Toyota Wish yang digunakan oleh suspek.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada seorang lelaki bersama wanita itu, iaitu suami suspek berusia 36 tahun dan kedua-duanya berasal dari Manjung,” katanya.

Suami suspek turut mempunyai tiga rekod lampau iaitu satu kes pecah rumah dan dua lagi dadah.

Kes disiasat di bawah seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.


12 views0 comments
bottom of page