Perkhidmatan Komuter Tren Elektrik ETS mengalami gangguan melibatkan laluan Utara-Selatan berikutan insiden tren kargo tergelincir di Batu Gajah.
Dianggarkan ribuan penumpang terkandas di Stesen KTM Ipoh apabila tidak dapat meneruskan perjalanan.
Ramai antara penumpang merupakan orang ramai yang ingin pulang sempena cuti panjang perayaan Deepavali Sabtu ini.
Mereka melahirkan rasa kecewa kerana banyak masa terbuang apabila perkhidmatan mengalami gangguan sejak awal pagi.
Menurut penumpang masalah yang berlaku malam tadi sekali lagi membuktikan pihak KTMB tidak serius untuk menyediakan perkhidmatan yang memuaskan kepada penumpang.
Orang ramai mahu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya bertindak lebih tegas dengan gangguan melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam.
Difahamkan sikap SPAD yang berdiam diri tanpa mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat orang ramai membuat pengguna berasa kecewa dengan agensi itu.
Penumpang yang sepatutnya menaiki tren bagi perjalanan ke utara dan selatan kini masih menunggu di platform sebelum menerima arahan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Difahamkan, bagi penumpang yang ingin ke selatan, mereka akan dibawa menaiki bas ke Stesen KTM Kampar untuk menggunakan perkhidmatan tren bermula dari sana manakala bagi perjalanan ke utara, penumpang yang datang dari selatan akan dibawa ke Stesen KTM Ipoh.