top of page
muinsapidin

Tingkat Kebersihan, Hospitaliti Menjelang TMP 2017

IPOH: Kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kebersihan dan hospitaliti menjelang Januari ini, sebagai langkah jangka pendek untuk menghadapi Tahun Melawat Perak (TMP) 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, program itu akan melibatkan semua pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pemain industri pelancongan dan orang awam.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan mengadakan pelbagai kempen kebersihan dan hospitaliti kerana kedua-dua aspek itu adalah asas kepada tarikan pelancong, baik dari dalam dan luar negara.

“Kalau tidak ada apa-apapun, tetapi jika tempat bersih dan layanan penduduknya baik, ia juga boleh menjadi daya tarikan untuk pelancong datang,” katanya semasa sidang media di Lost World of Tambun dekat sini pada Jumaat.

Nolee berkata, pengiktirafan Perak sebagai antara 10 Wilayah Terkemuka Dunia pilihan Lonely Planet baru-baru ini merupakan satu penghormatan besar dalam mempromosi Perak kepada para pelancong asing di serata dunia.

Menurutnya, pengiktirafan itu yang diterima selepas pengiktirafan kepada Ipoh di peringkat Asia akan menjadi platform untuk kerajaan negeri lebih mempromosi dan memasarkan produk-produk terbaik yang ada di Perak.

Lonely Planet, portal pengembaraan dunia menyenaraikan Perak di tangga sembilan selepas Coastal Georgia, Amerika Syarikat; The Tuamotus, French Polynesia; Aysen, Chile; South Australia; North Wales, United Kingdom; The Azores, Portugal dan Taranaki, New Zealand.

Sambil melahirkan rasa gembira dan syukur di atas pengiktirafan itu, Nolee mengharapkan kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan setiap produk pelancongan yang ditawarkan lebih kompetitif dan menarik perhatian pelancong luar.

Dalam masa sama, beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai tahap persediaan rakyat Perak untuk menerima limpahan pelancong selepas pengiktarafan yang diterima oleh Ipoh dan Perak.

“Saya berharap semua anugerah yang diterima akan menjadi pembakar semangat kepada kita semua untuk terus meningkatkan sektor pelancongan untuk mendapat lebih banyak pengiktirafan lain,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pelbagai program telah dirancang, termasuk pengenalan pakej pelancongan dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang dan Terengganu, sepanjang TMP 2017 yang mensasarkan kedatangan 7 juta pelancong dalam dan luar negara.


14 views0 comments
bottom of page