MANJUNG: Projek penambakan pantai Teluk Muroh tidak melibatkan kemusnahan hutan paya bakau seperti yang dibimbangi aktivis alam sekitar.
Pegawai Daerah Manjung, Mohd Faris Mohd Hanif menegaskan, projek melibatkan kawasan sepanjang tiga kilometer di persisir pantai itu, langsung tidak melibatkan mana-mana hutan paya bakau.
Justeru itu, beliau menafikan bahawa projek tersebut akan mendatangkan kesan kepada alam sekitar.
“Langsung tiada hutan paya bakau di kawasan kita lakukan kerja-kerja penambakan itu.
“Kerja penambakan hanya melibatkan kawasan pantai pasir selut yang sejak sekian lama lagi memberi masalah kepada nelayan-nelayan kerana mereka tidak boleh melaluinya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kegusaran aktivis alam sekitar kononnya projek berkenaan akan menjejaskan ekologi kawasan tersebut serta pendapatan nelayan di situ.
Faris memberitahu, kerja-kerja penambakan itu dibuat bagi membolehkan pembinaan kemudahan seperti jeti terapung, laluan bot dan stor menyimpan bagi memberi keselesaan kepada nelayan setempat.
Pada fasa kedua pembinaan itu, dijangkakan unit-unit kediaman juga akan dibina serta disusuli fasa ketiga iaitu pembinaan kemudahan asas lain termasuk rekreasi dan riadah serta kedai bagi menjadikan ia kawasan tarikan pelancong untuk menjana ekonomi penduduk setempat.
Menurut Faris, dari segi penjagaan ekologi kawasan berkenaan, kerajaan negeri telah mengikut prosedur sewajarnya, termasuk melakukan kajian hidrologi dan mendapatkan pandangan teknikal dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum memulakan projek berkenaan.
Katanya lagi, projek itu juga akan dipantau LKIM serta pihak perunding yang dilantik, bagi memastikan tiada kemusnahan alam sekitar yang akan berlaku.
“Setelah mendapat pandangan-pandangan agensi serta perunding pakar berkenaan, baru projek ini dilaksanakan.
“Dalam projek ini kita juga ambil pengajaran daripada pembangunan-pembangunan sebelum ini supaya elemen kemusnahan alam dapat kita tangai serta elakkan,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau turut menyangkal dakwaan projek berkenaan akan menutup periuk nasi nelayan setempat kerana terhalang untuk mencari kerang di kawasan berkenaan.
Katanya aktiviti mengutip kerang di kawasan tersebut lebih kepada riadah dan bukan sumber utama pendapatan nelayan di situ.
“Sekiranya projek ini siap nanti ianya akan membuka laluan di mana kita rasakan bukan menjejaskan tetapi akan memberi pendapatan tambahan, sekaligus meningkatkan ekonomi nelayan,” ujarnya.
Tinjauan pemberita di lokasi mendapati kerja-kerja penambakan telah bermula sekitar 10 peratus dan difahamkan ia dijangka siap pada pertengahan 2017.