top of page
muinsapidin

Polis Kawal Tiga Laluan Masuk Waller Court

IPOH: Polis akan meningkatkan tahap keselamatan di Rumah Flat Waller Court melalui kawalan di tiga laluan keluar masuk flat tersebut dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, pendekatan itu merupakan cara terbaik bagi mengurangkan risiko jenayah yang sering berlaku di Waller Court.

Menurut beliau, pihak polis cuba mencari jalan yang paling berkesan untuk mengelakkan jenayah di kawasan perumahan itu yang dikatakan antara yang terawal di Ipoh.

“Kalau kita hendak buat kawalan di dalam (flat) memang susah berikutan kawasan di sini yang luas dan banyak rumah, sebab itu jalan terbaik dengan adakan sekatan di tiga pintu masuk ini,” katanya kepada media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas melakukan rondaan dan tinjauan di Waller Court pada Jumaat.

Dalam pada itu, Sum turut menjelaskan bahawa pihak polis sentiasa memantau serta membuat rondaan di kawasan berkenaan sebelum ini kerana ia sering menjadi lokasi penagihan dadah serta pencerobohan.

“Ia sudah lama menjadi tumpuan polis, antara kes yang kita siasat seperti narkotik, samun, ceroboh dan khianat,” tambahnya.

Beliau memberitahu, jumlah tangkapan yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan IPD Ipoh untuk tahun 2012 dan 2013 ialah masing-masing 17 serta setiap satu tangkapan pada 2014, 2015 dan 10 bulan pertama tahun ini.

Sehubungan itu, kata beliau, kerjasama di antara penduduk Waller Court dan pihak polis amat diperlukan dalam menyalurkan sebarang maklumat dan jenayah yang berlaku di situ.

“Mereka beritahu banyak jenayah yang berlaku di sini seperti kecurian dan ugutan tetapi apabila kita cuba tanya lebih mendalam, mereka tidak mahu bercerita lebih lanjut, mungkin disebabkan takut atau sebagainya.

“Walau apapun, kita sudah terangkan pada mereka untuk kongsikan apa-apa maklumat mengenai kegiatan jenayah di sini bagi memudahkan pihak polis mengambil tindakan lanjut,” katanya.


27 views0 comments
bottom of page