top of page
  • muinsapidin

Plus tawar rebat tol untuk pembayaran tol elektronik

KUALA LUMPUR - Sempena cuti perayaan Deepavali Sabtu ini, pengguna rangkaian Lebuhraya Plus yang membayar tol secara elektronik akan menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abd Hamid dalam kenyataan hari ini berkata rangkaian berkenaan meliputi Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Jambatan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

"Ia diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda kecuali teksi) yang membayar tol menggunakan sistem elektronik iaitu menerusi kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go dan SmartTag.

"Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 km pada 29 Oktober ini," katanya.

Noorizah berkata pada tarikh itu, pengguna sistem elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tersebut akan dimasukkan ke dalam kad Touch 'n Go atau kad PLUSMiles masing-masing apabila mereka menambah nilai kad mereka dalam tempoh tiga bulan (15 November 2016 sehingga 14 Februari 2017) di pusat khidmat pelanggan di lebuhraya Plus.

Beliau berkata pemberian rebat itu adalah antara strategi Plus bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan pantas.

Bagaimanapun, Noorizah berkata rebat tersebut tidak diberikan untuk pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang. - Bernama


10 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page