IPOH: Perkhidmatan Tren Eletrik (ETS) di antara Kampar dan Ipoh akan tergendala bagi tempoh 48 jam akibat insiden tren kargo tergelincir di Batu Gajah awal pagi tadi.
Ketua Komunikasi Korporat KTM Bhd Ridhwan Arshad berkata penutupan sementara itu bertujuan untuk langkah berjaga-jaga.
"Kita terpaksa berhentikan aliran elektrik di laluan tersebut buat sementara kerana kebakaran yang berlaku ketika insiden awal pagi tadi. Kita memerlukan sedikit masa bagi mengembalikan sistem kembali kepada keadaan sedia ada.
Kita jangkakan sistem akan kembali seperti asal selewat-lewatnya pagi Ahad,” katanya.
Sekurang-kurang 12,000 penumpang laluan Utara-Selatan terkandas akibat tren gerabak yang tergelincir di Batu Gajah awal pagi tadi.
Insiden itu telah menyebabkan kesesakkan di Stesen KTM Kampar dan Stesen KTM Ipoh.
Dua perkhidmatan bas disediakan bagi mengangkut penumpang terkandas di Stesen Kampar yang ingin ke Utara.
Manakala penumpang yang terkandas di Stesen Ipoh dibawa ke Stesen Kampar untuk ke Selatan.
Rata-rata penumpang yang ditemui melahirkan rasa kecewa dengan KTM yang hanya menyediakan dua bas dengan 40 tempat duduk kerana ia tidak mencukupi.
Mereka terpaksa berebut-rebut setiap kali bas tiba dua jam sekali.
Ridhwan berkata kakitangan KTM akan memaklumkan pengguna mengenai perkembangan terbaru dari masa ke semasa.
"Bagi penumpang yang berhasrat ingin memulangkan membatalkan tiket mereka boleh berbuat demikian di mana-mana stesen KTM berdekatan dan wang mereka akan dikembalikan,” katanya.
Katanya orang ramai boleh menghubungi KTM Bhd di 03-2267 atau lawat www.ktmb.my untuk dapatkan maklumat terkini.