top of page
muinsapidin

Gangguan Perkhidmatan Tren Laluan Utara-Selatan Akibat Tren Tergelincir

BATU GAJAH: Keretapi dengan 25 gerabak berserta dua lokomotif tergelincir dari landasan dan terbakar di Kampung Bakap, di sini awal pagi Jumaat.

Kejadian 3.40 pagi itu mengakibatkan pemandu lokomotif yang membawa gerabak tanpa muatan berkenaan cedera ringan tetapi pembantunya tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, keretapi berkenaan dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menuju ke Tasek Simen, Ipoh dekat sini untuk mengambil muatan simen.

"Berdasarkan maklumat, akibat tergelincir dan terbalik, dua lokomotif yang menarik 23 gerabak kosong berkenaan terbakar dan pasukan bomba dihubungi untuk memadamkan kebakaran.

"Sehingga 9 pagi ini, kebakaran sudah berjaya dipadamkan dan daripada 25 gerabak serta lokomotif berkenaan hanya tinggal 15 gerabak yang masih di landasan," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohd Khairul Jamil yang turut serta dalam operasi memadam kebakaran lokomotif berkenaan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 3.43 pagi.

"Seramai 18 anggota serta tiga pegawai bersama dua jentera ke lokasi kejadian, namun sebaik tiba operasi pemadaman api tidak dapat dilakukan awal kerana kawasan landasan terdapat elektrik voltan tinggi.

"Kerja-kerja pemadaman dua lokomotif yang terbakar hanya dapat dilakukan selepas pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menutup bekalan elektrik di kawasan berkenaan," ujarnya.

Menurutnya, api dapat dikawal dan dipadamkan dalam masa 20 minit pada kira-kira jam 4.45 pagi.

"Operasi membabitkan Balai Bomba Batu Gajah serta Simpang Pulai dan diserahkan kepada pengurusan KTMB pada 8.15 pagi untuk kerja pengalihan gerabak yang tergelincir," katanya.

Mohd Khairul berkata, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) juga tergendala susulan gerabak yang tergelincir menghalang kedua-dua laluan selain kerja-kerja pengalihan yang dilakukan.


77 views0 comments
bottom of page