top of page
muinsapidin

Ops Cahaya: Rampasan Berkurangan Berbanding Tahun Lepas

MANJUNG: Pejabat Kesihatan Daerah Negeri Perak berjaya merampas sebanyak 392 rampasan dengan nilai RM2,582.15 sepanjang Ops Cahaya yang diadakan serentak bermula dari 10 Oktober hingga 27 Oktober (Khamis).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Han Soon berkata, jumlah itu berkurangan berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 628 rampasan bernilai RM3,445.10.

Menurut beliau, antara kesalahan yang dikesan termasuklah makanan tidak mempunyai maklumat pengimport, makanan dalam tin kemek dan berkarat, produk makanan luput tarikh dan bungkusan produk makanan rosak.

“Operasi ini sentiasa kita jalankan apabila menjelang musim perayaan, termasuklah Depavali kerana pihak jabatan amat mengambi berat isu keselamatan makanan dan memberi keutamaan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan pengguna.

“Operasi melibatkan pemeriksaan premis makanan yang berasaskan risiko kepada kesihatan, pasar raya dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas operasi tersebut di sini pada Khamis.

Dr Mah berkata, pihak Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan di semua Pejabat Kesihatan Daerah dan pihak berkuasa tempatan sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas premis makanan.

Beliau memberitahu, bagi tujuan pemeriksaan tahunan, sebanyak 13, 068 premis telah diperiksa di mana 108 buah premis makanan telah diperintahkan tutup pada tahun 2015.

Di samping itu, kata beliau, sehingga September tahun ini pula, sebanyak 10,627 premis telah diperiksa dan 110 premis diperintah tutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang memuaskan.

"Setakat ini, sebanyak 256 notis kompaun kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai sebanyak RM64,000 bagi tahun ini,” ujarnya lagi.


16 views0 comments
bottom of page