IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta membuat pemantauan lebih kerap ke restoran dan kilang makanan di negeri ini bagi memastikan mereka tidak menggunakan minyak masak paket 1 kilogram mulai 1 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, minyak masak itu yang kekal pada harga RM2.50 sepatutnya untuk pengguna domestik dan bukannya peniaga.
Beliau berpendapat, peniaga sepatutnya menggunakan minyak masak botol yang harganya akan mengikut harga pasaran.
“Apabila harga minyak paket dikekalkan tetapi harga minyak masak botol diapungkan, kita bimbang akan ada lompang atau ruang yang akan digunakan oleh pihak tertentu untuk mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Negeri Perak di UTC di sini pada Khamis.
Mahkamah itu adalah yang ke empat di Perak selepas di Taiping, Teluk Intan dan Manjung.
Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengumumkan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak yang menyaksikan harga minyak masak paket 1 kilogram kekal RM2.50 manakala minyak masak lain, harga akan mengikut harga pasaran.
Menurut Hamzah, penstrukturan semula itu adalah untuk memastikan subsidi kerajaan dinikmati oleh golongan sasar bagi mengelak kerajaan menanggung kos subsidi hampir RM100 juta sebulan susulan kenaikan harga minyak olien (minyak sawit diproses).
Dalam hubungan ini, Samsudin menasihatkan rakyat supaya mengelakkan pembelian panik kerana ia akan menyebabkan berlaku kekurangan bekalan seperti yang dialami di beberapa kedai runcit dan pasaraya di beberapa daerah di negeri ini.
Beliau memberitahu, Perak mendapat kouta 4,000 metrik tan minyak paket sebulan dan ia mungkin menyebabkan kekurangan yang teruk sekiranya berlaku pembelian panik.
Beliau turut meminta pihak berkenaan supaya meningkatkan kouta itu bagi menampung keperluan penduduk negeri ini yang sudah menjangkau hampir tiga juta orang.
Samsudin turut mengingatkan golongan peniaga dan pengilang makanan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan sesuka hati kerana mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.