top of page
muinsapidin

MBI Rai 100 Warga Kurang Bernasib Baik Menjelang Deepavali

IPOH: Sempena perayaan Deepavali yang akan disambut Sabtu ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menganjurkan Program Sekalung Budi Deepavali 2016 untuk meraikan 100 wargakota yang kurang bernasib baik.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, program itu yang dikendalikan oleh Majlis Masyarakat Sivil (MMS) MBI merupakan program keempat sejak Julai tahun lalu.

Menurut beliau, program itu diadakan setiap kali sambutan perayaan besar kaum-kaum di Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

“Dengan adanya program seumpama ini, kita harapkan ia serba sedikit dapat meringankan beban sahabat-sahabat kita yang menyambut perayaan besar mereka,” katanya ketika berucap ketika program itu di Dewan Bandaran Ipoh di sini pada Khamis.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria dan Ketua WHIP MMS, Sani Kamaruddin.

Seramai 100 orang warga miskin yang terdiri daripada 50 India, 20 Melayu, 20 Cina dan 10 orang kurang upaya (OKU) menerima kotak barangan keperluan harian sumbangan Yayasan Bina Upaya (YBU), hamper biskut dan wang tunai.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang, Datuk Bandar berharap, program itu dapat diteruskan di masa-masa akan datang, sesuai dengan pengiktirafan Ipoh sebagai bandar perniagaan sosial (social business city) yang diterima ketika Dialogue Pangkor baru-baru ini.

“Dengan tema “Semurni Harapan Setulus Impian #Kami Prihatin” telah menjadi satu gerakan padu dan motivasi kepada warga MBI dan Ahli MMS untuk memastikan program ini dijayakan,” ujarnya.

Tambahan pula, kata Zamri, istilah merakyatkan Pihak Berkuasa Tempatan menjadi tunjang utama dalam pentadbiran MBI.

“Maka, sudah pasti tujuan dan hasrat akan diberi fokus sepenuhnya kepada mereka yang memerlukan melalui pendekatan yang akan mampu mentransformasikan komuniti agar lebih berdaya maju dan kadar kemiskinan dapat dikurangkan,” kata beliau.


35 views0 comments
bottom of page